siapa kata perjuangan ini senang
siapa kata perjuangan ini enteng
kerana hak ini, adalah titisan peluh insan
persis membasahi bumi suci ini
kerana hak ini, adalah wasiat untuk keluarga sejati
kerana hak ini ... menuntut janji
berpuluh tahun ... bertungkus lumus
lombong, paya, hutan, lembah, bukit, timbunan
sampah menjadi kampung halaman ... Kampung
Peneroka Bandar ingin berteduh ... halal
sesuap nasi
suara politik lantang melamar harapan
‘tanah ini memang untuk mu,’ katanya
maka pemimpin di sanjung setinggi gunung
malangnya, kampung tetap tergadai ... harapan tetap berkecai
kerana pemimpin sudah dibelai kuasa dan cebisan keuntungan
kerana dunia ini sudah dibendung rapi dengan acuan songsang
yang mempertahankan kepada penindasan dan keruntuhan
yang membencikan kepada kemanusiaan
dalam putaran yang sungguh tertekan ini
rakyat tidak berhadapan ladi dengan sandiwara pemaju
tetapi menghadapi kuncunya ... jentera pemerintah
yang lengkap dengan teknologi perang
kerana pemaju sudah bertitah
nenek memandikan air mata ... lesu
datuk menggeleng kepala ... mendogak ke langit memohon sesuatu
jeritan ibu ... sayu
tangisan bayi ... biru
rayuan suami ... kelu
teriakan anak ... pilu
talibarut tetap bersorak
jentolak tetap menghasak
jalan tar merekah ... membelahi bumi
bumbung zing berlumba-lumba ... berlipat tiga
tiang rumah rapoh ... terkaman pekerja pemerintah
lantai semen meletup ... disulam dengan kehancuran
pemaju ... tetap tersenyum lebar
pemimpin politik ... sudah menghilangkan diri
bayi meninggal dunia ... mengejar lahad tanpa bernama
harta benda ... lenyap bersama sejarah
penghuni rumah ... bergelang besi waja
van polis sudah lama menunggu
lambang keangkuhan bersemarak mencabar naluri
dunia kehilangan kesopanan
pengkhianat pengkhianat ini tetap tidak sedar bahawa
di atas keruntuhan ini ... kehancuran ini
rakyat sudah mendakap cahaya kesedaran
menegur insan ... mencorak perpaduan sejati
makin sedar betapa kosongnya
... demokrasi ini!
... keadilan ini!
maka perjuangan meresap menyusun erti
maka pengorbanan turut malamar diri
rumah diroboh ... pondok ditegak
pondok diroboh ... khemah ditegak
khemah diroboh ... rakyat memberontak!
semangat membara
keazaman terpahat sudah
dalam mengejar secebis warisan
dalam menghadapi lapisan dugaan
ada yang bergerak mencari pedoman dari pengalaman
ada yang mengemis mencari habuan dari tangan penindasan
maka bergolaklah kampung ini
maka berpecahlah kampung halaman
terhirislah secebis harapan
biarlah mereka pergi, kerana setakat itu sajalah
perjuangan mereka ini
biarlah mereka pergi, kerana anak cucu
akan mendakwa mereka nanti
biarlah mereka pergi kerana perjuangan ini
berkembang bukan dalam paksaan
dapat menjernihkan kekusulan ini ... mengatur strategi
biarlah mereka pergi kerana yang tinggal
sudah mengerti ... betapa sucinya perjuangan ini
saudaraku ... yang ku kasihi
janganlah bepatah arah
kaulah nadi pembangunan
kaulah ilham harapan
kajilah kembali pengalaman ini
kerana disitulah pedoman perjuangan
kerana disitulah ideologi kemanusiaan sejati
kerana disitulah hikmat kesedaran
yang dapat membebaskan diri ini
dari belenggu penindasan dan kekejaman
semoga kau menghayati erti keadilan dan demokrasi yang tulen
semoga kau menghayati erti cinta kepada rakyat sejagat supaya
kau tidak membenarkan penindasan ini
kekejaman ini ... berulang lagi!
没有评论:
发表评论