2008年11月15日星期六

Mengenai "Rakyat Pengayuh Perubahan"

1.0 Pengenalan :

Kempen Rakyat Pengayuh Perubahan adalah satu inisiatif oleh Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) iaitu satu jaringan yang terdiri daripada gabungan pekerja kilang, masyarakat ladang, petani, peneroka bandar dan anak muda dan pelajar. Kempen ini juga akan disertai oleh kumpulan-kumpulan masyarakat, kumpulan-kumpulan hak asasi, NGO, kesatuan sekerja dan parti-parti Politik.

Kempen ini akan dijalankan dengan berbasikal ke seluruh negara melalui pekan-pekan dan bandar-bandar utama dengan membawa mesej kesedaran tentang isu-isu semasa yang memberi tekanan kepada kehidupan rakyat. Antaranya adalah isu kenaikan harga minyak, penggunaan akta zalim seperti ISA ke atas rakyat, isu global seperti alam sekitar dan krisis makanan yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia.

Secara amnya, perhatian rakyat Malaysia kini dialihkan dengan pelbagai isu lain yang berlaku tanpa memberi penekanan isu yang memberi kesan kepada rakyat. Maka, kempen berbasikal Nasional ini adalah satu cara untuk fokuskan pandangan rakyat terhadap masalah sebenar yang dihadapi dan bagaimana ianya boleh diatasi.


2.0 Latarbelakang

Rakyat kini menghadapi pelbagai masalah dari segi ekonomi dan sosial akibat krisis global dunia dan politik dalam negara. Antara masalah yang memberi tekanan bagi rakyat Malaysia adalah :


A. Kenaikan Harga barangan yang tidak terkawal

Harga barangan meningkat dua kali lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini di mana kadar inflasi berada pada tahap 8.5% iaitu kadar inflasi yang tertinggi tercatat dalam sejarah Malaysia .


B. Tiada Akta Gaji Minima

Ketiadaan Akta Gaji minima untuk pekerja menyebabkan golongan majoriti ini mengalami tekanan dari segi kewangan untuk memenuhi keperluan asas keluarga akibat kos hidup yang tinggi.


C. Tempat Kediaman selesa untuk rakyat

Rumah adalah hak asasi manusia tetapi rakyat Malaysia terutamanya peneroka bandar dan pekerja ladang mengalami masalah pengusiran paksa dari tempat tinggal mereka.


D. Penswastaan terhadap Kemudahan Asas

Penswastaan perkhidmatan kemudahan asas menyebabkan tarif elektrik sudah naik; bayaran penyelenggaraan di flat-flat perumahan melambung tinggi; perkhidmatan hospital kerajaan yang bertukar wajah ke swasta lagi membebankan rakyat.


E. Penggunaaan Akta-akta Zalim

Akta-akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (EO), PPPA (Printing Press and Publication Act) dan Akta Hasutan sering digunakan terhadap rakyat yang membela ketidakadilan dan penganiyaan.


F. Ancaman kepada Alam sekitar

Pencemaran dan bencana alam kerap berlaku akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang.


G. Persekitaran Politik Negara yang Tidak Stabil

Berserta dengan masalah-masalah rakyat ini ditambah pula dengan persekitaran politik negara yang kurang stabil. Kepimpinan negara yang gagal memenuhi keperluan rakyat mewujudkan situasi huru-hara dalam negara. Malah,, ada pihak yang mengambil kesempatan ini untuk mengapi-apikan isu perkauman dan agama di kalangan rakyat. Negara kita menghadapi situasi kritikal dan rakyat tidak tentu hala tuju mereka dan sering dijadikan mangsa.

Rakyat Malaysia yang membawa satu perubahan besar dalam politik negara pada pilihanraya lepas akan maju ke satu tahap ke hadapan untuk membawa perubahan tulen dalam kehidupan mereka melalui Kempen Rakyat Pengayuh Perubahan ini.

Satu keistimewaan kempen ini adalah kempen ini akan dipimpin dan digerakkan oleh Jawatankuasa pekerja, anak-anak muda dan masyarakat yang mahukan perubahan akan turun untuk membantu pekerja/rakyat Malaysia sedar akan peranan mereka.


3.0 Matlamat

Matlamat utama kempen ini adalah untuk :

1. Menyebarkan maklumat mengenai masalah rakyat dan cara penyelesaiannya.

2. Membawa kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan alam sekitar (enviroment friendly) untuk mengurangkan pencemaran alam.

3. Mempopularkan tuntutan nasional JERIT kepada masyarakat.

i. Gubal Akta Gaji Minima

ii. Mansuhkan akta Zalim seperti ISA dan lain-lain

iii. Perumahan Selesa untuk Rakyat

iv. Harga barangan harus dikawal dan mampu dibeli

v. Laksanakan Pilihanraya Tempatan

vi. Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air, hospital dan pendidikan


4.0 Aktiviti Utama

b) Berbasikal ke setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan akan melalui lebih kurang 50 bandar dan pekan utama di negeri-negeri tersebut dengan mengedarkan risalah kesedaran kepada masyarakat setempat.

c) Di setiap negeri, satu kumpulan penganjur yang terdiri daripada masyarakat tempatan akan menunggu ketibaan kumpulan berbasikal. Di setiap tempat persinggahan, pelbagai aktiviti seperti ceramah, teater jalanan, persembahan dan karnival akan diadakan dengan turut melibatkan masyarakat setempat.

d) Di setiap negeri yang dilawati , rakyat akan memberikan memorandum kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mendapat sokongan dan mengimplimentasikan tuntutan-tuntutan ini di negeri masing-masing.


5.0 Program

Pelancaran : 30 November 2008

Tempoh Kempen : 3 minggu

Program akan dilancarkan di 3 tempat iaitu dari Perlis ( Kangar), Johor (Skudai) dan Kelantan (Kota Baru) .

Program utama di setiap negeri ialah penyerahan memorandum tuntutan kepada Menteri Besar di setiap negeri.

Program Kemuncak : Penyerahan Memorandum kepada Perdana Menteri di Parlimen.


7.0 Peserta Program

Program akan disertai oleh :

1. Masyarakat seperti pekerja kilang, pekerja ladang, peneroka bandar, anak muda dan pelajar dari kawasan–kawasan perjuangan JERIT. Sila lihat lampiran mengenai pengenalan JERIT.

2. Kumpulan-kumpulan hak asasi seperti Gabungan Mansuhkan ISA, SUARAM, KOMAS, ALAIGAL Pusat Pembangunan Masyarakat dan juga parti-parti politik yang berminat.

3. Kumpulan-kumpulan alam sekitar

4. Persatuan-persatuan basikal


Kesimpulan

Kempen Rakyat Pengayuh Perubahan akan membawa isu dan masalah rakyat yang sebenar kepada platform nasional. Kami menyeru rakyat biasa untuk menyertai dan menyahut panggilan kami untuk bersama-sama menjayakan kempen ini. Kami juga harap wakil-wakil rakyat menyokong kempen kami demi mereaslisasikan tuntutan rakyat.

Hidup Rakyat ! Hidup Perjuangan

没有评论:

Malaysia: the promise on Mayday

Save Our Seahorse @ NTV 7 edisi siasat (part 1)