8/8/2008
Kampung Baru Plentong Tengah yang terletak di Plentong, Johor diduduki oleh lebih daripada 300 keluarga lebih daripada 20 tahun, kini diancam pengusiran paksa di atas nama pembangunan. Mereka telah diberi notis keluar sebelum rumah alternatif mereka siap dibina. Akan tetapi oleh kerana rumah mereka belum siap lagi maka mereka masih tinggal di kampung mereka. Pemaju, BUKIT LENANG DEVELOPMENT SDN BHD terus mendesak mereka untuk berpindah dan mengancam akan merobohkan rumah mereka.
Pemaju sekarang, Bukit Lenang Development Sdn. Bhd telah membeli tanah ini pada tahun 1996, 11 tahun selepas penduduk tinggal atas tanah ini. Bukit Lenang telah cuba mengusir penduduk keluar dari tanah ini dengan menyaman penduduk dimahkamah sejak 10 tahun yang lepas. Penduduk kalah di Mahkamah Rayuan pada 13 April 2007.
Pada Disember 2007 penduduk KBPT melalui Jawatankuasa UMNO Cawangan Kg Baru Plentong Tengah telah berbincang dengan YB Dato' Sen Haji MOHAMED KHALED NORDIN(Ahli Parlimen) di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang yang mana YB Dato' Sen telah memberikan jaminan akan berusaha untuk merundingkan bagi mendapatkan jumlah gantirugi yang yang munasabah. Tetapi sehingga hari ini, tiada sebarang perundingan antara pihak Bukit Lenang dengan penduduk KBPT dijalankan. Dato'Sen pula ingin melepaskan tangan dengan menuduh penduduk sebagai bersikap tamak.
- Persoalannya rumah alternatif penduduk Kampung Baru Plentong Tengah belum disiapkan lagi. Kemudahan seperti jalan raya, elektrik dan air pun belum disediakan lagi di penempatan semula KBPT iaitu di Bukit Dagang. Adakah pihak pemaju tidak boleh tunggu sampai rumah siap, supaya mereka boleh berpindah ?
Pengusiran paksa ini sungguh kejam!
Apa yang anda perlu buat?
1. Hantar Surat Bantahan(contoh surat dilampirkan dibawah) kepada pihak Menteri Besar Johor, SUK Johor dan pemaju BUKIT LENANG DEVELOPMENT SDN BHD supaya menghentikan perobohan ini.
2. Datang ke Kampung Baru Plentong Tengah pada 14/8/2008, jam 8 pagi untuk memberi sokongan dan membantu menghentikan perobohan ini. Lokasi kampung : Plentong, berdekatan dengan Laman Tasek Pandan, Plentong.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi: Choo 012-7097721(PSM JB) @ Nyam 016-7782707(Suaram JB) @ Tn Haji Jamion 013-7640603(Pengerusi JKB KBPT) @ En Taslim 019-7051011(JKB KBPT)
Kronologi peristiwa KBPT:
1985 – Penduduk meneroka tanah. Pejabat Tanah memaklumkan bahawa tanah tersebut tiada pemilik.
1986 – KBPT terbentuk. Penduduk memohon hak milik tanah. Pejabat Tanah kata tanah dimiliki Syarikat Mosbert.
1987 – Tanah ditukar tangan kepada Jet Ace Co. dan seterusnya kepada Oakfield.
1989 – Penduduk kalah kepada Oakfield di Mahkamah Tinggi JB dengan perintah milikan kosong.
1990 – Dalam usaha mendapatkan ehsan DYMM Sultan Johor, penduduk ditipu sebanyak RM 18,000.00 oleh 'orang tengah'.
1991 – Atas cadangan wakil rakyat, penduduk membentuk tabung bertujuan membeli tanah daripada Oakfield.
1993 – Pembayaran pendahuluan penduduk dari wang tabung sebanyak RM 417,307.93 digelapkan oleh peguam.
1993 – Oakfield melakukan perobohan rumah. Atas suruhan wakil rakyat, penduduk melarikan diri ke dalam hutan. Selepas itu, penduduk membelanjakan RM 22,000.00 untuk membebaskan seorang penduduk yang tidak sempat lari dan ditahan oleh polis.
1993 – Atas cadangan peguam, penduduk menanggung kos menghantar wakil untuk memohon wang kebajikan atarabangsa di Filipina.
1993 – Penduduk menang kepada Oakfield di Mahkamah Rayuan KL dengan ketepikan perintah kommintal Mahkamah Tinggi JB.
1994 – Oakfield setuju menjual tanah kepada penduduk. Perundingan pembelian tanah dimula.
1994 – Penduduk 'menghilangkan' RM 820,000.00 kepada Oakfield melalui peguam J. Sing & Co.
1995 – TNB membekalkan elektrik ke KBPT.
1996 – Bukit Lenang Development Sdn. Bhd. ambil milik tanah KBPT. Pemaju menawarkan pampasan kepada penduduk yang berpindah. Penduduk tidak setuju kerana rasa nilai pampasan tidak setimpal.
1997 – Penduduk buat aduan polis terhadap Oakfield yang jualkan tanah sedangkan proses jual-beli dengan penduduk tengah diproses.
1997 – Bukit Lenang saman penduduk. Bukit Lenang menolak cadangan tuntutan ganti rugi penduduk.
1997 – Penduduk membuat kempen tandatangan dan hantar surat kepada MB Johor atas sokongan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB).
1998 – Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi JB dengan perintah milikan kosong tetapi terus merayu.
1999 – Kerajaan Johor mengurniakan tanah Kg. Bukit Dagang kepada penduduk.
2000 – Bukit Lenang menjalankan operasi pengusiran secara paksa. Penduduk turun sama-sama dan berjaya mempertahankan rumah.
2000 – Penduduk menang kes di Mahkamah Rayuan KL.
2002 – Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi JB.
2007 – Penduduk kalah di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
2008 – Bukit Lenang mendapat notis perintah mahkamah.
Contoh Surat Bantahan
Dato' Haji Abdul Ghani Othman( Menteri Besar Johor)
Pejabat Menteri Besar Johor
Aras 1, Bangunan Sultan Ibrahim,
Jalan Bukit Timbalan,
80000 Johor Bahru, Johor.
No. Telefon : 07-2244148/2234789
No. Fak : 07-2230867
Email : mbj@johor.gov.my
Pejabat SUKJ Cawangan Perumahan
Aras Bawah, Bangunan Sultan Ibrahim,
Jalan Bukit Timbalan,
80000 Johor Bahru, Johor.
No. Telefon : 07-2232491/2232492
No. Fak : 07-2234786
Bukit Lenang Development Sdn Bhd
67 & 69, Jalan Kuning 2,
Tman Pelangi, 80400 Johor Bahru,
Johor.
No. Telefon : 07-3337222
No. Fak : 07-3345188
HENTIKAN PEROBOHAN KAMPUNG BARU PLENTONG TENGAH!!!
Tuan,
HENTIKAN PEROBOHAN KAMPUNG BARU PLENTONG TENGAH SEKARANG!!!
Kami daripada ______________________________
Kampung Baru Plentong Tengah yang terletak di Plentong, Johor diduduki oleh lebih daripada 300 keluarga lebih daripada 20 tahun, kini diancam pengusiran paksa di atas nama pembangunan. Mereka telah diberi notis keluar sebelum rumah alternatif mereka siap dibina.
Penduduk kampung telah akur kepada keputusan mahkamah dan bersedia meninggalkan tanah KBPT dengan syarat mereka mendapat penempatan semula dan rumah alternatif di atas tanah Bukit Dagang. Ini adalah satu tuntutan yang minima supaya mereka tidak kehilangan tempat perlindungan.
Penduduk Kampung Baru Plentong Tengah sememangnya tidak membantah pemindahan tetapi isu perumahan alternatif ini belum diselesaikan lagi. Para penduduk kampung bersedia untuk berunding tetapi mereka tidak diberi peluang dan diabaikan begitu sahaja oleh Bukit Lenang dan Kerajaan Negeri.
Oleh yang demikian, kami mendesak perobohan rumah di Kampung Baru Plentong Tengah dihentikan segera dan masalah ini diselesaikan dengan mengadakan perundingan dengan pihak penduduk.
Yang Benar,
没有评论:
发表评论